Friday, December 26, 2008

Untuk yang telah pergi, dan kasih yang masih ada.

Kehilangan bukanlah sesuatu yang setiap manusia waras inginkan. Kita berlumba mengejar kesenangan dalam hidup, mencari sesuatu yang mampu membawa bahagia tetapi sebenarnya kebahagian itu diam di hati orang-orang yang kita sayang. Kehilangan mereka, seperti membawa bersama kebahagian itu. Tapi hidup perlu berlangsung, dan kita memilih untuk masih merasa bahagia dalam sebuah kehilangan melalui memori bersama insan yang telah pergi. Al-fatihah.

Pilu, mungkin masih berduka. Dia sedih, dan aku faham kerana pilu tetap sama. Walau siapa yang menerima kehadirannya, detik hitam itu memang melukakan. Ubati keperitannya dengan kasih-sayang setiap yang masih ada, secara zahir. Semakin lama, aku jadi memahami perasaan seorang ibu. Usia yang mematangkan, membuat aku menjadi begitu kagum akan kesabaran seorang ibu. Ketabahan ibu dalam mengubat kehilangan tidak terbanding segala penawar. Untuk ibu di rumah, atas kagumnya aku akan dia yang tabah. Moga aku jadi seperti dia.

Baby Alia pergi pada usia 4 bulan, selepas membawa kegembiraan kepada keluarga kami yang 7 tahun tak mendengar tangisan bayi. Lahir sedang ibu menghidap diabetes mellitus. Komplikasinya baby Alia lahir dengan masalah jantung. Baby Alia manusia cantik, mulus wajahnya dan aku jatuh hati pada pandang pertama melihat adik. Kalau dewasa, mungkin jadi heart-breaker si lelaki (ini Maksu yang cakap). Tiada apa dapat dilakukan untuk menyelamatkannya, dan ibu dipaksa untuk memilih melihat baby Alia terus hidup sebagai manusia cacat atau di'mati'kan saja alat bantuan pernafasannya. Beratnya ibu untuk memilih, tapi tuhan ada rancanganNya yang lebih baik. Baby Alia pergi juga.

Aku masih ingat. Saat dia pergi, aku sedang berjuang di Seremban. Aku masuk ke sekolah itu dengan result UPSR dan record co-curiculum yang cemerlang. Aku dilepaskan ibu dengan berat hati, sedang ayah teruja sungguh untuk melihat anaknya menggenggam cita-cita. Masa kecilku bersama tok dan wan, tapi itu bukanlah alasan untuk aku tidak merasa kasih ibu dan ayah. Aku miliki segalanya, dalam limpahan kasih sayang mereka. Ibu melihat anak-anaknya pergi jauh menuntut ilmu, sedihnya terasa lagi apabila Faiz ke Sekolah Alam Shah. Mungkin sudah penat ditinggalkan, dia mahu Adik Murni belajar saja di Langkawi. Kehilangan baby Alia sebenarnya masih berbekas di hati ibu, dan aku tetap melihat kesedihan itu dalam renung matanya.

Aku bukan anak terbaik, yang sebetulnya tidak layak menjadi penginap rahimnya selam 9 bulan. Aku degil sungguh, memilih untuk hidup dengan cara sendiri. Tapi aku hanya mahu dia tahu, di hati aku dialah manusia paling mulia yang pernah singgah dalam catatan usia ini.


Aku ingin kau tahu bahawa aku sayang padamu, maaf bila tidak seperti cara orang lain mengungkapkan, dengan peluk dan cium. Aku menyayangimu dalam tangisku ditengah malam yang sepi, dalam setiap kegagalan yang menimpaku, dan dalam setiap sikap kasarku yang menerbitkan penyesalan yang dalam.

Aku tenteram, melihat kau sejahtera.

2 comments:

  1. maybe you should slowdown a bit..before it too late, she wont life forever for sure.

    ReplyDelete
  2. I am aware about that but I tend to be carried away with my life. Ignorance is not a bliss. Thank you for the advice.

    Have a good Monday!

    ReplyDelete