Tuesday, October 7, 2008

Apa itu?

Menangis. Tertawa. Merenung. Terdiam dalam hening. Terhanyut di dalamnya hingga kata-kata kehilangan makna. Selama ini, aku yakin mampu mengubah pandangan orang lain dan setelah berusaha meyakinkan, kebenaran dapat dimengerti. Namun, apa yang aku ingin sampaikan tidak selalunya difahami sebagaimana aku mahu. Seolahnya ada penapis yang membatasi kelangsungan makna di fikiran pihak yang mendengar. Setiap orang hadir dengan kacamata tersendiri yang menapis bahagian tertentu dan membentuk pengertian berdasarkan pengalaman dan kepercayaan. Kita tidak puas sekadar menyampaikan, kita ingin mengubah seseorang agar sefahaman dengan kita. Tapi aku tidak mampu mengubah kamu, begitu juga sebaliknya. Jadinya kebenaran itu subjektif sekali, bersandar pada kacamata yang menilai. Selama mana kita berada dalam realiti menilai, selama itu kita masih bergantung pada 'kacamata' untuk mengungkap kebenaran yang menjadi relatif. Tiada lagi kebenaran mutlak. Kita tidak lagi peduli akan kebenaran.


Maka, bagaimana?


Barangkali kerana itu Gautama Buddha menemui pemahaman kepada kebenaran (pencerahan agung). Bukannya syurga atau neraka tetapi pembebasan daripada keduanya. Dalam memahami kebenaran, yang menjadi tujuan bukan lagi perihal benar atau salah, tapi memahami bagaimana keduanya bermula dan bagaimana kita dapat membebaskan diri daripada jerat keduanya. 'Kacamata' menjadi lapisan yang membatasi kenyataan yang dilihat dan kebenaran yang sesungguhnya. Patutnya kita mengupas 'kacamata' itu hingga menemui kebenaran sejati. Kebenaran tanpa lapis apa-apa, itulah kebenaran mutlak. Indahnya hati tanpa 'kacamata' itu.


Mari teruskan hidup tanpa menilai, dan berusahalah untuk menghormati.

No comments:

Post a Comment